Pengembaraan Narnia Kini Di Tengah Lautan
TAJUK: The Chronicles of Narnia: The Voyage of the Dawn Treader
PENGARAH: Michael Apted
PELAKON: Georgie Henley, Skandar Keynes, Will Poulter, Ben Barnes, Liam Neeson, Simon Pegg
GENRE: Pengembaraan, Epik Fantasi
EDARAN: 20th Century Fox
Sekali Imbas
Adaptasi ketiga dari novel bersiri The Chronicles of Narnia hasil karya penulis British, C.S Lewis yang merupakan sekuel kepada dua filem sebelumnya. Apa pula pengembaraan yang bakal ditempuh oleh dua adik beradik bongsu Pevensie di alam Narnia ini?
Ulasan Penuh
Filem pertama dari siri Narnia, The Lion, the Witch and the Wardrobe pada tahun 2005 adalah satu blockbuster global yang meraih kutipan $745 juta (lebih RM2 billion) di seluruh dunia. Tetapi siri kedua filem ini, Prince Caspian (2008) yang membawa tona penceritaan lebih gelap dan jalan cerita yang lebih rumit, gagal menyaingi kutipan dari filem pertama apabila hanya mengutip $420 juta (RM1.33 billion, masih lagi kutipan yang sangat besar bagi penulis!).
Situasi ini menyebabkan pengedar asal dua filem pertama iaitu Walt Disney Pictures menarik diri dari sekuel seterusnya. Tindakan Disney ini menyebabkan tenaga produksi Narnia, Walden Media Studio beralih kepada 20th Century Fox untuk mengedarkan siri seterusnya filem mereka. Dengan semangat baru, iaitu menghasilkan filem yang kurang pengaruh Shakespear berbanding dalam Prince Caspian dan lebih fantastikal berbanding Harry Potter, tenaga kerja Walden Media Studio bekerja keras untuk menampilkan peningkatan dalam filem ketiga ini serta menarik kembali audiens menonton siri francais Narnia.
Hasilnya, lahir sebuah filem kembara fantasi yang hebat pada pendapat penulis. Seperti biasa, CGI atau kesan khas pada filem-filem berbajet besar seperti Narnia ini tidak perlu dipertikaikan lagi. Dari pergerakan seekor naga, pengembaraan merentasi laut bergelora sambil dilanda ribut taufan sehinggalah ke pertarungan terakhir bersama seekor ular laut gergasi yang menakutkan. Kesemuanya harus diberi pujian.
Cuma sepanjang menonton filem ini, penulis merasakan mood yang sama seperti menonton Pirates of Carrebean yang mana latarbelakang tempatnya mengambil sudut di atas kapal laut yang sedang belayar. Kapal tersebut dinamakan Dawn Trader (bukan Black Pearl ye), sebuah kapal laut pertama yang dibina dalam kerajaan Narnia sejak berkurun lamanya kerana sebelum ini, masyarakat Telmarine yang menghuni Narnia, takut kepada lautan.
Fakta ini kemudiannya menimbulkan persoalan kepada penulis, jika ini adalah kapal pertama? Bagaiman semua krew-krew di atas kapal itu begitu cekap mengendalikan kapal terbabit? Malah bukan calang-calang dugaan yang mereka hadapi di lautan itu, kesemuanya bermain dengan nyawa tetapi apa yang penulis sedar, tidak ada seorang krew pun yang menemui ajal dalam pengembaraan ini.
Berbalik kepada lakonan, tidak banyak yang boleh penulis perkatakan. Kesemua watak memainkan peranan dengan baik. Konflik remaja turut diulas dengan baik dalam siri ini. Lucy yang sedang meningkat remaja, mempunyai naluri yang sama seperti gadis-gadis lain iaitu untuk sentiasa kelihatan cantik. Malah Lucy juga cemburu akan kejelitaan kakaknya, Susan dan sentiasa berharap dia juga dapat menerima perhatian sama seperti kakaknya.
Abang Lucy, Edmund pula berdepan konflik lain. Seringkali dibayangi kehebatan abang sulung mereka, Peter menyebabkan Edmund terasa tercabar kerana kini terpaksa bersaing kuasa kepimpinan bersama Caspian, raja baru Narnia. Peter sebagai High King dan pemerintah tertinggi mempunyai kuasa mutlak ke atas semua raja-raja yang pernah memerintah Narnia. Namun setelah ketiadaan Peter, kuasa memerintah diberikan kepada Caspian.
Caspian juga tidak lari dari berhadapan konflik dalaman. Sebagai raja baru Narnia, bebanan untuk memenuhi harapan ayahnya untuk menjadi raja yang hebat merupakan tanggungjawab yang berat untuk Caspian selain terpaksa mengembalikan kegemilangan kerajaan Narnia seperti ketika dibawah pemerintahan Peter dan adik-adiknya.
Pelakon-pelakon watak tersebut iaitu Georgie Henley (Lucy), Skandar Keynes (Edmund), dan Ben Barnes (Caspian) berjaya membawa emosi ke dalam watak-watak mereka dan menyedarkan penulis yang setiap dari kita sememangnya mempunyai 'kegelapan' di dalam hati.
Satu lagi watak yang harus diberi kredit ialah Eustace iaitu sepupu kepada adik beradik Pevensie. Watak Eustace yang celupar dan sarcastic berjaya membuatkan penonton ketawa setiap kali kemunculannya di layar perak. Situasi bertambah menarik apabila Eustace yang juga bersifat tamak disumpah menjadi naga akibat sifat melampaunya itu.
Dari segi aksi pula, kurang menarik pada pendapat penulis kecuali babak akhir menentang ular laut gergasi itu. Tidak banyak aksi pertarungan atau pertempuran kali ini berbanding dua filem pertamanya. Mungkin juga kerana filem ini bercorak kekeluargaan, tiada juga setitis darah ditumpahkan walaupun banyak adegan yang boleh menyebabkan maut.
Keseluruhannya, filem Narnia kali ini adalah lebih ringan, senang didekati dan lebih bersifat kekeluargaan berbanding filem terdahulu. Cuma, kepada audiens yang ingin menonton filem ini, mahu atau tidak mereka terpaksa menonton dua filem pertama sekiranya ingin memahami apa sebenarnya Narnia dan siapakah watak-watak ini.
Persoalan sama ada filem ini mampu mengembalikan minat penonton kepada Narnia atau tidak adalah masih terlalu awal untuk dijawab kerana hanya penonton sahaja dapat memberikan jawapannya. Sama-sama kita nantikan.
Sipnosis
Setelah pemergian Susan ke Amerika manakala Peter pula melanjutkan pelajaran, kedua-dua adik bongsu Pevensie, Edmund dan Lucy kini menghabiskan masa cuti di rumah sepupu mereka, Eustace yang bagaimanapun tidak senang dengan kehadiran mereka.
Satu hari ketika di bilik Eustace, potret yang menayangkan gambar sebuah kapal laut belayar di lautan tiba-tiba hidup, membawa Edmund, Lucy dan Eustace ke dunia Narnia dan bertemu dengan King Caspian yang sedang dalam kembara mencari tujuh sahabat ayahandanya yang telah menghilangkan diri sejak peristiwa dalam filem kedua.
Dunia Narnia dalam pemerintahan Caspian kini kembali dibawah pengaruh kuasa gelap yang berpusat di sebuah pulau serta misteri kabus hijau yang menghantui tanah jajahan Narnia.
Selain berhadapan dengan kuasa jajahan, pelbagai konflik timbul di antara karekter-karekter utama di mana, Caspian berhadapan dengan konflik dalaman serta ingin membuktikan dia boleh menjadi raja yang lebih hebat dari Edmund dan adik beradiknya.
Edmund pula sudah jemu dibayangi pemerintahan Caspian dan ingin membuktikan dia juga mampu menjadi raja mutlak seperti abangnya Peter. Lucy berhadapan dengan konflik remaja dan sentiasa ingin kelihatan cantik dan menjadi seperti kakaknya, Susan.
Dan sudah pasti Eustace yang pertama kali datang ke dunia Narnia berhadapan masalah menyesuaikan diri dengan habitat di Narnia. Jadi mampukah mereka semua yang mempunyai masalah peribadi masing-masing menentang kuasa jahat yang sememangnya mampu mempengaruhi emosi mereka?