Kembara Jack Sparrow Dalam Menduga Arus
JANGAN TAK LIHAT
PENGARAH: Rob Marshall
PELAKON: Johnny Depp, Penelope Cruz, Ian McShane, Geoffrey Rush
EDARAN: Walt Disney Pictures
Sekali Imbas
Selepas menicpta kejayaan dengan tiga siri pertama Pirates of Caribbean, penerbit Jerry Bruckheimer kini kembali membawakan pengembaraan lanun-lanun Caribbean ke layar perak dengan siri ke-4, On Stranger Tides yang buat pertama kalinya diarahkan Rob Marshall selepas mengambil alih tampuk pengarahan dari Gore Verbinski. Juga tiada lagi watak Will Turner lakonan Orlando Bloom dan Elizabeth Swann (Keira Knigtley).
Ulasan Penuh
Penulis adalah peminat francais ini, jadi kemungkinan akan ada sedikit bias dari hasil ulasan kali ini. Namun itu tidak bermakna yang segalanya adalah 'perfect' bagi filem berbajet $200 juta (RM600 juta) yang merupakan sambungan dari At World's End terbitan tahun 2007. Masih ada beberapa sudut yang pada penglihatan penulis, tidak perlu terlalu diketengahkan supaya filem ini menjadi 'berlainan' dari filem-filemnya sebelum ini.
Johnny Depp, dialah nadi utama francais ini. Kalau tajuk filem ini bukan Pirates of Caribbean, penulis rasa tajuk lain yang sesuai adalah 'Jack Sparrow & ........'. Jelas, francais ini tidak akan berjaya kalau bukan kerana watak gila-gilanya sebagai Jack Sparrow, oh tersilap, Kapten Jack Sparrow yang menghidupkan jalan cerita. Malah bagi penulis, hilanglah seri filem ini jika tiada watak Depp sebagai Sparrow ataupun watak Sparrow itu diberikan kepada pelakon lain.
Satu elemen menarik mengenai siri ini, ialah bagaimana kreatifnya pengarah untuk menghimpunkan segala subplot yang terhasil dari beberapa watak lain yang kemudian di centralized kepada satu plot utama. Sebagai contoh, untuk tiga siri pertama, percintaan antara Will Turner dan Elizabeth Swann dijadikan subplot kepada plot utama yang berkisar Jack Sparrow ingin merampas kembali kapal Black Pearlnya. Penyusunan jalan cerita itu kelihatan sejajar dengan misi utama Sparrow untuk kembali menjadi nakhoda kapal dan timbul segala macam halangan dan dugaan sebelum watak mereka 'dimatikan' dalam siri keempat ini.
Dalam On Stranger Tides, perjalanan cerita tidak hanya tertumpu pada Sparrow sahaja. Ianya ibarat himpunan pelbagai plot-plot kecil dirangkumkan kepada satu. Persaingan antara kerajaan British dan Sepanyol pembuka filem ini. King George II yang bengang apabila mendapat tahu kerajaan Sepanyol kini sedang belayar mencari "Fountain of Youth", telah mengarahkan Jack Sparrow dan Hector Barbossa menjejaki telaga tersebut sebelum ditemui kerajaan Sepanyol.
Kapten Barbossa yang kini berkidmat dengan kerajaan British , pada masa yang sama sedang berdendam dengan dengan Blackbeard, seorang lanun yang digeruni oleh lanun-lanun lain kerana kekejamannya. Blackbeard telah merampas kapal Black Pearl milik Barbossa dan bertanggungjawab di atas kehilangan kaki kanannya. Ini menyebabkan Barbossa mempunyai dendam kesumat ke atas Blackbeard.
Tidak ada unsur pencintaan berat kali ini seperti Will dan Turner, sebaliknya Sparrow kini kembali bertemu dengan kekasih lamanya, Angelica yang tanpa disangka Sparrow, adalah anak perempuan kepada Blackbeard. Angelica dikatakan wanita pertama dicintai Sparrow, namun dia berusaha menafikan perasaannya itu.
Juga terdapat sedikit romantika dari watak Phillip, seorang paderi muda yang menjadi tawanan Blackbeard yang jatuh hati kepada Syrena, seekor duyung yang pada mulanya menyerang anak-anak kapal Blackbeard tapi sebaliknya menjadi tawanan mereka. Oh ye, menyebut pasal duyung, penulis sangat tertarik dengan kejelitaan duyung-duyung dalam filem ini. Juga tanpa disedari, tidak banyak penggunaan CGI untuk penghasilan makhluk-makhluk kali ini. Semuanya lebih tertumpu pada jalan cerita watak masing-masing.
Babak aksi dan dialog nampaknya berjaya diseimbangkan dengan baik. Komedinya juga berkurangan namun masih diselitkan dialog-dialog lucu yang mana sudah sebati dengan jalan cerita Pirates of Caribbean.
Keseluruhan, On Stranger Tides boleh diangggap berjaya meneruskan tradisi francais Pirates of Caribbean yang mana pada pendapat penulis, agak hilang impaknya pada filem ketiganya dahulu. Jalan ceritanya menarik, kembaranya penuh aksi dan tidak 'merapu' seperti filem ketiganya.
Sipnosis
Jack Sparrow tiba di London untuk menyelamatkan rakan baiknya, Joshamee Gibbs dari hukuman gantung. Namun dalam usahanya itu, dia tertangkap dan dipaksa untuk berkhidmat dengan kerajaan British dalam mencari Fountain of Youth, sebuah telaga yang boleh mengembalikan keremajaan seseorang sekiranya minum air dari telaga itu.
Sparrow berjaya melarikan diri dari kerajaan British dan tanpa disengajakan, bertemu kembali dengan kekasih lamanya, Angelica. Tanpa disangka, Angelica yang ditinggalkan Sparrow itu adalah anak kepada lanun paling digeruni seantero lautan, Blackbeard. Sparrow terpaksa berkhidmat dengan Blackbeard untuk menyelamatkan nyawanya. Blackbeard juga dalam misi mencari telaga sakti itu untuk mencapai cita-citanya kembali muda serta menolak ramalan takdir yang kononnya dia bakal menemui ajal di tangan lelaki berkaki satu.
Pada masa yang sama, Hector Barbossa yang kini berkhidmat dengan kerajaan British mengetuai angkatan tentera British menjejaki Fountain of Youth. Barbossa kini tempang berkaki satu setelah kapalnya dirampas Blackbeard dan dia tercedera. Barbossa juga harus bertindak cepat kerana satu lagi pihak iaitu kerajaan Sepanyol, turut berminat dengan telaga itu.
Maka bermulalah pengembaraan tiga penjuru antara kerajaan British, Sepanyol dan angkatan lanun Blackbeard mencari Fountain of Youth. Persoalannya, pihak mana akan disebelahi Jack Sparrow?
KOMEN-KOMEN | 1
HANTAR KOMEN ANDA
No comments:
Post a Comment